Saturday 21 January 2012

Menjadi tetamu-Nya

Baitul Haram yang menjadi kiblat para Muslimeen sebagai simbol perpaduan dan ketaatan...
     Ramai daripada sahabat-sahabat kita terutamnya syabab perkasa yang telah mengambil peluang keemasan mengunjungi dua kota yang tersuci buat para Muslimeen iaitu Mekah dan Madinah. Tujuannya hanya satu, menyambut panggilah Ilahi menjadi tetamu-Nya melaksanakan ibadah Umrah. 

     Moga-moga, sekembalinya mereka dari Tanah Suci nanti, akan adalah sekumpulan pemuda yang lebih gigih dalam memastikan keharmonian dalam masyarakat Jordan umumnya dan masyarakat Permai khususnya.

     Kepada yang masih belum dijemput Allah S.W.T. Janganlah berasa sedih mahupun kecewa. Doalah kepada Allah agar kita dipilih-Nya untuk turut sama menjadi tetamunya pada lain hari bagi melihat sendiri Baitil Haram sekaligus menjadi Ainul Yakin buat kita saat mndirikan solat.

     Seperti mana keistimewaan ibadah Haji, umrah juga ada kelebihannya. Sebenarnya memang banyak hadis-hadis yang membicarakan tentang kelebihan umrah. Di antaranya ialah :


1. MENJADI TETAMU ALLAH
Di dalam Ihya’Ulumiddin, Jarir bin Abdillah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda, maksudnya :

“Tetamu Allah ada tiga golongan iaitu orang yang berhaji, berumrah dan berperang”


2. PAHALA DAN GANJARAN DILIPATGANDAKAN
Abi Suhail mendengar Abu Hurairah RA mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda pada tahun Haji Wada’ di Mekah :

“Para jemaah haji dan umrah adalah tetamu Allah SWT. Dia akan memenuhi apa yang mereka minta, mengabulkan apa yang mereka doakan, memberikan ganti kepada mereka atas apa yang telah mereka belanjakan dan melipatgandakan satu dirham untuknya menjadi sejuta dirham” (al-Fakily, Muhammad Ibnu Ishak)


3. TIDAK DIHISAB JIKA MENINGGAL DUNIA SEMASA MENUNAIKAN UMRAH

Di dalam Ihya’Ulumiddin, disebut bahawa Rasulullah SAW telah bersabda, maksudnya :

“Barang siapa keluar untuk menunaikan ibadah haji atau umrah lalu meninggal dunia, maka baginya diberlakukan pahala berhaji dan berumrah hingga hari kiamat. Dan barang siapa meninggal dunia di salah satu tanah suci, maka kelak dia tidak diadili dan tidak pula dihisab, melainkan dikatakan kepadanya, ‘Masuklah ke dalam syurga’”


4. PAHALA UMRAH BULAN RAMADHAN MENYAMAI IBADAH HAJI
Dalam Sahih Muslim diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya :

“Melakukan umrah pada bulan Ramadhan menyamai ibadah haji”


5. MENGHILANGKAN DOSA DAN KEFAKIRAN
Dalam Ibnu Majah, Umar RA meriwayatkan bahawa Rasla's SAW Rasla's SAW telah bersabda yang bermaksud :

“Perturutkanlah antara haji dan umrah, sebab sesungguhnya berturut-turutnya antara keduanya akan menghilangkan kefakiran dan dosa-dosa, ibadat kir (nyalaan api pada tukang besi) yang menghilangkan kotoran besi”


6. DIWAJIBKAN WALAUPUN SEKALI (JIKA MAMPU)
Umrah juga diwajibkan atas manusia sekali seumur hidup jika mampu. Walau bagaimanapun penduduk Mekah tidak diwajibkan menunaikan umrah hanya ibadah haji sahaja. Allah berfirman dalam surah Al-Baqarah : 196 yang bermaksud :

“Dan sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah”

Begitu juga daripada Ibnu Umar RA yang berkata :

“Tidak ada seorang pun kecuali diwajibkan atasnya satu kali haji dan umrah” (Al-Bukhari)


7. PENGHAPUSAN DOSA
Dalam riwayat Al-Bukhari, Rasululluh SAW telah bersabda yang bermaksud :

“Satu ibadah umrah sehingga sampai umrah lainnya adalah sebagai pelebur (dosa) di antara keduanya. Sedang haji yang mabrur tidak mempunyai balasan kecuali syurga”


     Di sini, penulis karangkan sedikit sajak bertajuk 'Kunantikan-Mu'. Penulis berharap agar semua daripada kita sentiasa berwaspada dalam menempuhi hidup yang sementara ini. Sebabnya, penulis percaya yang Islam bakal menguasai semula dunia ini. Cuma ada satu persoalan yang kecil. Adakah kita termasuk dalam golongan ini? 

Kita masih menanti...
Saat yang dijanji...
Saat yang tidak lama lagi...
Saat personaliti ummah kembali berseri...
Menjadi ikutan masyarakat alam ini...
Ketika Islam berdiri tinggi...
Melahirkan alam yang damai harmoni...

Dalam hati ada harapan...
Mudahkanlah kami menempuhi perjuangan...
Moga-moga kami menjadi punca kegemilangan...
Untuk pastikan semua musuh tertawan...
Dengan lafaz Bismillah, mudahkanlah kami berjalan...
Dengan hati, kerana-Mu Tuhan.



0 comments: