Friday 13 January 2012

AYUH MENGEMBARA



            Mengembara adalah satu keindahan. Mengembara membuka minda, menguji sebuah ketabahan hati dalam mencapai ibrah sebuah kembara. Kembara mengajar erti kesabaran, kecintaan.. erti sebuah tautan.

            Pupuklah rasa cinta untuk mengembara. Kerana apa? Banyak mengembara.. luas pengetahuan kita terhadap dunia ini. Banyak yang bakal kita peroleh jika kita jadikan kembara sebagai satu hobi. Tapi ingat.. bukan sekadar kembara untuk mencari sebuah keseronakan. Bukan sekadar kembara yang sia-sia, tetapi kembara yang terisi dengan sebuah kenikmatan.



Kembara satu nikmat?

            Ya, saya katakan kembara adalah satu nikmat. Kenapa? Terlalu puitis dan indah untuk saya katakan. Saya suka mengembara. Mengembara mengajar erti sebuah kehidupan. Kita akan sentiasa merenung dan berfikir sepanjang pengembaraan kita.

            Berfikir betapa indahnya alam ini. Terlalu indah untuk dikhabarkan. Tambahan pula berkelana dan mengembara di bumi anbiya.. Syria, Jordan, Mesir dan sebagainya adalah satu nikmat yang indah. Tidak semua mampu untuk menjejakkan kaki di tanah yang penuh barakah ini. Kita adalah insan yang terpilih, diberi nikmat oleh Allah untuk jejakkan kaki di bumi anbiya. Subhanallah.. indah tidak terkata. Kembara di bumi yang pernah dijejak Nabi. Tanah yang sedang kita kembara ini, tanah yang pernah dijejak Rasulullah. Tidakkah nikmat kembara kita ini?

Lantas…kenapa seringkali kita alpa?

            Kita sia-siakan nikmat kita dicampak ke bumi anbiya ini. Kita lupa dan alpa. Kita asyik dalam menuntut ilmu dan keseronokan dunia hingga kita lupa untuk mengembara dan mengenali dengan lebih jauh dan mendalam apa yang ada di sekeliling kita.

            Contohnya di Jordan sendiri, terlalu banyak tempat bersejarah dan makam para sahabat. Mengapa tidak mengambil peluang itu untuk mengenali dan mengembara jauh lebih mendalam untuk mengenali insan-insan ini. Mereka adalah pejuang tauhid. Susuk tubuh generasi pejuang Islam. Kenapa kita hanya diam, membatu diri… 4 atau 6 tahun di sini, tanpa ada sedikit masa kita luangkan untuk mengenali mereka?

Mengembara mendekatkan diri pada Allah..?

            Manusia itu ciptaan terindah. Akal yang ada haruslah digunakan sebaiknya. Alangkah indahnya , tiap apa yang kita lihat, tiap apa yang kita dengar, tiap apa yang kita ucapkan adalah untuk mengingati Allah.

            Apabila kita pandang sekeliling, kita ingatkan Allah.. kerana Allah adalah Pencipta. Subhanallah.. betapa indahnya ciptaan Allah. Ini membawa kita menuju takwa kepada Allah. Lihatlah betapa sebuah ‘pengembaraan’ ini adalah suatu benda yang hebat dah gah untuk diungkapkan. Pengembaraan mengenali Allah…

Katakanlah: "Perhatikanlah apa yaag ada di langit dan di bumi. Tidaklah bermanfaat tanda kekuasaan Allah dan rasul-rasul yang memberi peringatan bagi orang-orang yang tidak beriman." 

~yunus : 101~

******

            Tidak lama lagi kita semua akan bercuti. Ada yang akan ke Mesir, Turkey, Morocow, Sepanyoldan tidak lupa juga ada yang bakal pulang ke Malaysia. Sudah pasti di tempat-tempat yang bakal kita lawati kelak, punya sejarah indahnya yang tersendiri.

            Oleh itu, saya mewakili Kelab Kembara Jordan, mengajak kalian, sama-sama menjadikan percutian kita sebagai sebuah kembara. Bukan sekadar kembara yang menyeronokkan dengan gelak tawa gembira, tetapi jadikanlah ianya sebuah kembara yang turut menginsafkan kita dengan sejarahnya yang tersendiri.

            Apabila kalian ke Turkey.. kenangkanlah kisah Mustafa Kamal Ataturk Renungilah kisah Islam di sana. Bagaimana kejamnya dia dalam memerangi budaya Islam. Budaya Jahiliyah di bawa masuk, identiti Islam seakan dipijak-pijak. Hinakah Islam hingga diperlaku sebegitu rupa?

 Tatkala kalian jejaki bumi Al-Hambra, renungilah kisah perjuangan Islam di Kota Al Hamra itu. Insafilah perjuangan sahabat-sahabat kita. Tangisilah sebuah perjuangan Islam di sana, yang kini Islam bukan lagi milik mereka. Mereka dijajah dan di tindas. Lihatlah ukiran-ukirannya, tanamkanlah di dalam hati… bumi itu, dulunya indah dengan nikmat Islam.. Allah..

            Tiba-tiba teringat lirik nasyid ini..

Al-Hambra..
Indralokamu merah bercahaya
Dengan cahaya iman dan taqwa
Terdengar azan di kota lama
Gemersik di seluruh buana
Nyalakan cinta yang membara
Perjuangan yang tiada sudahnya
Sejarah seringkali bertandang
Tamadun silam kembali gemilang
Bangun Granada dan Kordova
Teguhkan istana Al Hambra

            Maka syukurilah.. nikmat iman dan Islam yang masih bertakhta di hati.

Buat sahabat-sahabat,

            Selamat mengembara. Jadikan pengembaraan anda, pengembaraan yang terindah. Ambillah ibrah dan hikmah di sebalik sejarah tempat-tempat yang bakal kalian lawati. Jangan hanya balik dengan tangan kosong. Tetapi baliklah dengan jiwa yang terisi dengan sebuah ilmu di dada untuk dikongsi bersama.

Dengar khabar ada juga yang bakal menjejakkan kaki ke Palestin. Bumi yang sedang dijajah. Sedang berperang memperjuangkan sebuah aqidah. Maka kita, insan yang berpeluang untuk menjejakkan kaki bumi Al quds, renungilah dan insafilah serta syukurilah nikmat itu. Mereka berjuang untuk Islam, tetapi kita.. apa yang mampu untuk kita berikan? Ambillah peluang kalian, fahamilah sejarah bumi Al quds, jangan kalian pulang dengan sia-sia kerana kembara kalian ke sana adalah sebuah keberanian dan sebuah kenangan.

            Pergilah mengembara ke mana sekalipun, yang pasti jaga hati, jaga iman. Ayuh, kembara menggapai redha Ilahi.

Qani’ah Mawaddah,
Maktabah Yarmouk
11.21 am
10 Disember 2012

0 comments: