Wednesday 18 April 2012

Mengembara sia-sia?

      Pernahkah anda merancang satu percutian? Anda berusaha memikirkan destinasi yang menyeronokkan. Anda mula mengumpulkan seberapa banyak informasi. Anda mula menceritakan bersama teman-temanmu. Hati anda mulai ghairah. Tidak sabar menantikan tarikh kembara anda.

Merancang destinasi pilihan...
      "Tak perlulah membazir duit pergi sana-sini! Better help the needies." nasihat teman anda tiba- tiba. Anda mulai gelabah. "................" Anda cuba memberikan alasan yang positif. Namun bidasan teman anda kemas mematikan satu persatu hujah anda. 

Hati mulai kusut...
      Macam mana ni? Hentikan perancangan percutian anda ini? Batalkan perancangan anda? Hati anda bagaikan dirobek membuatkannya luka. Mata anda juga mulai berair memikirkan nasihat tadi.

      Di sini, penulis ingin meminjam hati dan akal anda buat seketika. Boleh? Okay, cuba anda bayangkan seorang nelayan. Mereka ini gigih turun ke laut bagi mencari ikan. Bermalam di tengah ombak di bawah bebintang itu biasa bagi mereka. Matlamat mereka hanya satu- menangkap ikan.

Sang Nelayan yang gigih...
      Tiba musim tengkujuh, beliau kembali ke rumahnya. Saat itu dia mendapat dua pilihan-memberikan ikan-ikan segar kepada anaknya ataupun menceritakan onak dan duri sepanjang pengembaraannya mendapatkan  seekor ikan. Yang manakah lebih bermanfaat? Yang mana yang akan kekal? Objek yang konkrit ataupun pengalaman yang segar. Tepuk dada, tanyalah iman. Apakah yang dimaksudkan, 'Better help the needies' itu.

Makna 'memberi' sebenarnya?
     Tambahan lagi, atuk-nenek kita ada cakap, "Jauh berjalan, luaslah pandangan". Nabi pula cakap, "Tuntutlah ilmu sehingga ke negara Cina." Allah juga ada cakap, "Dan berjalanlah kau di muka bumi ini dan lihatlah akibat-akibat yang menimpa golongan yang mendustakan ayat Allah." Kata-kata ini bukanlah dikatakan kerana sia-sia. Tetapi kerana ada hikmahnya. Oh! Rupanya mengembara ini ada kebaikan!

     Di sini penulis menyimpulkan TIGA kelebihan utama mengembara ini.

        1.  Mencambahkan ilmu yang segar.  
             Mengembara membawa hati dan akal kita ke tempat-tempat baru dengan budaya baru, makanan baru, bahasa baru, kepercayaan baru, perangai baru dan macam-macam lagi yang baru. Ini akan mengajar kita erti toleransi sekali gus meluaskan pandangan kita tentang makna 'kehidupan'. Kesannya, kita mampu bermuhasbah untuk membaiki budaya kerja yang buruk dalam diri kita mahupun mencipta yang budaya kerja baru yang bermanfaat.

        
2.  Melakar pengalaman hidup
             Mengembara membawa sekumpulan insan menuju satu destinasi yang sama. Dalam pengembaraan ini, kita sering diuji pelbagai ujian dan dugaan antara teman-teman. Pahit dan manis perjalanan ini merupakan sumber kekuatan persahabatan antara kita dengan sahabat handai kita. Pengalaman ini akan menaut ukhuwwah yang dijalin agar tersulam kukuh. Kesannya, kita mampu berasa gembira kerana memiliki sahabat-handai yang lebih memahami diri kita.

     
3.  Merehatkan dan menggembirakan jiwa. 
            Mengembara akan memisahkan kita dengan rutin kehidupan harian kita. Dalam pengembaraan ini, minda kita akan melupakan segala tekanan dan masalah yang dihadapi. Saat kita berada di tempat-tempat yang dipenuhi keindahan ciptaan Allah ini, jiwa kita dapat menyerap aura baru. Aura yang akan menyerap dalam darah kita membuatkan jiwa menjadi ceria dan teruja. Kesannya, jiwa dan minda kita akan berasa lebih semangat dan bersedia untuk bekerja semula.